Search This Blog

datang melawat

Rakan Blogger

About Me

My photo
kangar, perlis, Malaysia
Assalamualaikum... terima kasih pada yang sudi datang menjenguk blog saya... Nama sebenar Nor Asmah Binti Hussin... Nama Blogger saya Hang Li Po... Kenapa Hang Li Po??? hehe sebab saya Sepet... tapi sepenuhnya melayu ok.... Anak kepada En Hussin Dan Puan Maznah... Isteri kepada En NorHafifi Bin Abdul Muthalib... Ummi Kepada Muhammad Aiman Hakim dan Afrina Zara Batrisyia.... Kakak Kepada Amirah dan Afiqah Najihah.... penulisan adalah minat saya... sebarang pertanyaan bolehlah email kepada saya norasmah2787@gmail.com.... sekian terima kasih

Thursday, August 20, 2009

ibadah zakat...



Firman Allah Taala:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ.

"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata semasa mengambilnya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji. "(1)

Menurut keterangan syarak, zakat terbahagi dua.

Pertama: Zakat badan (zakat fitrah) (2) dan

Kedua: Zakat harta.

Jenis-jenis harta yang diwajibkan zakatnya ialah:

(1) Emas dan perak

(2) Binatang ternak: Unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk kambing biri-biri atau kibas).

(3) Hasil tanaman:

(a) Biji-bijian dari jenis-jenis yang mengenyangkan dan tahan disimpan seperti gandum, padi, jagung dan lain-lainnya.

(b) "Buah-buahan": Tamar dan anggur sahaja.

(4) Barang-barang perniagaan.

(5) Benda-benda galian (dari logam emas dan perak).

(6) "Rikaz" , iaitu harta benda yang terpendam yang ditanam oleh orang-orang dahulu - zaman jahiliyah.

______________________________

1. Ayat 267, Surah al-Baqarah.

2. Zakat fitrah akan diterangkan dalam fasal yang ketiga.


Orang Yang Diwajibkan Membayar Zakat

Orang yang mempunyai mana-mana jenis harta yang tersebut. Dan cukup pula syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya.

Syarat-syaratnya itu ialah: Islam, merdeka, hak milik yang sempurna(1), cukup nisab(2) dan "haul" (genap setahun dalam miliknya).(3)

Nisab itu pula disyaratkan:

1. Hendaklah ia berlebih daripada haj at keperluan seseorang yang asasi:

Perbelanjaan makan minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan alat-alat perusahaan.

2. Hendaklah ia genap setahun menurut hitungan tahun hijrah dan dikira permulaannya dari tarikh ia dimiliki serta berterusan cukupnya di sepanjang-panjang tahun itu. Kalau ia kurang dalam masa yang tersebut, kemudian ia cukup semula, maka permulaan tahun haulnya ialah dan masa ia cukup semula.(4)

Menurut penjelasan Imam Nawawi rahimahullah: Pada harta yang diwajibkan zakatnya dan dikehendaki genap setahun - seperti emas perak dan binatang ternak - disyaratkan cukup nisab di sepanjang-sepanjang tahun haulnya. Kalau nisab (yang telah cukup) itu kurang pula (sesudah itu) dalam satu lahzah dari tahun itu maka putuslah haulnya. Kalau nisab yang tersebut cukup sesudah itu, hendaklah dikira semula tahun haulnya dari masa ia cukup nisab. (5)

______________________________

1. Yakni harta itu kepunyaannya yang dikuasai dengan sepenuhnya.

2. Nisab ialah kadar atau jumlah yang tertentu dari harta itu, yang diwajibkan zakatnya.

3. Kecuali tiga jenis harta yang tidak disyaratkan (haul), iaitu hasil tanaman, benda-benda galian dan (Rikaz). Semuanya ita dibayar zakatnya sebaik-baik sahaja mendapat hasilnya.

4. Fiqh al-Sunnah (1:334).

5. Kitab yang sama (1:335). Ini ialah menurut jumhur ulama' meliputi mazhab Syaf'i, Maliki dan Hanbali. Menurut mazhab Hanafi pula: Disyaratkan cukup nisab pada awal tahun haulnya dan pada akhirnya. Kalau nisab berkurangan dalam masa antara awal dan akhir tahun haulnya yang tersebut, maka itu tidak mencacatkan.

Orang Yang Berharta Yang Berhutang

Orang yang mempunyai harta yang diwajibkan zakatnya, sedang ia berhutang, hendaklah ia membayar hutangnya lebih dahulu dan yang bakinya - kalau cukup nisab - hendaklah ia membayar zakatnya. Kalau tidak cukup nisab, maka ia tidak diwajibkan membayar zakat kerana dengan itu ia termasuk dalam golongan yang tidak mampu.(1)

______________________________


1. Kitab yang sama (1:336).


Orang Mati Yang Masih Belum Membayar Zakatnya

Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan dari hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

83- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ … فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى. (رواه البخاري ومسلم)

83- Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah s.a.w bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim).

______________________________


1. Kitab yang sama (1:336) dan Fath al-Bari (5:97).




Zakat Harta Anak Yatim Dan Orang Gila

Wajib atas wali anak yatim dan wali orang gila mengeluarkan zakat bagi pihak keduanya dari harta mereka berdua, apabila cukup nisabnya.


Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


84- عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ النَّاسَ فَقَالَ أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ. (رواه الترمذي)


84- Dari `Amru bin Syu'aib, dari bapanya, dari datuknya, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berucap kepada orang ramai yang lalu bersabda: "Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) - dimakan oleh zakat. (1)

(Hadith Dhaif Riwayat Tirmizi)


Hadith ini disokong oleh sebuah Hadith Mursal, yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafi'i, rahimahullah dalam "Musnad"nya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Carilah jalan yang menguntungkan semasa kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim, supaya hartanya itu tidak ditelan habis oleh zakat"(2)


Disokong lagi oleh dua "Athar" (keterangan sahabat dan tabi'in) yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafi"i, maksudnya: Bahawa Saiyidatina `Aisyah r.a., semasa memelihara beberapa orang anak yatim (anak-anak saudaranya), ia mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anak yatim itu dari harta mereka dan juga ia memperniagakan harta mereka untuk mengembangkannya.(3)


Hukum ini dikuatkan oleh al-Imam al-Syafi'i dengan umum hadith-hadith sahih yang mewajibkan zakat secara mutlak.

Kesimpulannya:


Pertama: Anak-anak yatim yang ada harta yang cukup nisab dan syarat-syarat yang lain, diwajibkan zakat pada hartanya, kerana zakat itu ialah hak fakir miskin pada harta orang-orang yang berharta, sama ada mereka orang dewasa atau anak yatim yang masih belum baligh. (4)


Demikian juga halnya orang gila, di wajibkan zakat pada hartanya dan walinya yang mengeluarkannya bagi pihaknya.(5)


Kedua: Menerangkan bahawa hukum syarak sentiasa menjaga kepentingan segala pihak. Dalam masalah ini pihak fakir miskin ditetapkan haknya pada harta orang-orang yang berada sekalipun orang-orang yang berada itu anak yatim yang masih belum baligh. Pihak anak yatim pula diperintahkan walinya supaya mengembangkan hartanya dengan jalan perniagaan dan jangan harta anak yatim itu dibiarkan berterusan susut dimakan oleh zakat.

Ketiga: Menerangkan kepada umat Islam umumnya, bahawa perbuatan membiarkan harta kekayaan ini membeku dan tidak diedarkan dengan jalan perniagaan dan sebagainya akan merugikan diri sendiri(6) dan masyarakat, malah bertentangan dengan dasar Islam.


Hakikat ini ditegaskan di dalam al-Qur'an:


.. كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ..

" .. (ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu .." (7)


______________________________



1. Tuhfah al-Ahwazi (3:29).


2. Musnad al-Imam al-Syafi'i (1:224).


3. Kitab yang sama (1:225).


4. Demikian menurut mazhab Syafi'i, Maliki dan Hanbali. Sebaliknya mazhab Hanafi mengatakan tidak wajib, dengan alasan: Kanak-kanak yang belum baligh tidak diberati oleh syarak; sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadith. (Tuhfat al-Ahwazi; 3:298).


5. Musnad al-Imam Al-Syafi'i (1:225).

6. Misalnya ia menyimpan wang yang besar jumlahnya dengan membiarkannya membeku - tidak digunakan, akhirnya wang itu akan susut dan habis dimakan zakat. Sebaliknya kalau tidak dikeluarkan zakatnya, buruk padahnya di dunia dan akhirat. Jalan keluar hanya satu iaitu diusahakan supaya jumlah wang itu bertambah kembang secara halal - dengan jalan perniagaan. (Fiqh al-Sunnah, 1:337).


7. Ayat 7, Surah al-Hasyr.



Haram Melambat-lambatkan Pembayaran Zakat

Wajib mengeluarkan zakat dengan serta merta sebaik-baik sahaja sampai waktu wajibnya dan haram melambat-lambatkannya, kecuali ada sebab yang tak dapat dielak, maka ia diharuskan melambatkannya sehingga ia dapat membayarnya.

Ini berdasarkan sebuah hadith (Bukhari) yang maksudnya, bahawa Rasulullah s.a.w apabila ada habuan zakat, Baginda tidak suka melengahkan pemba

hagiannya walau "satu malam" sekalipun.(1)

Pengajaran yang terdapat dalam hadith ini, bahawa perkara yang baik hendaklah disegerakan pelaksanaannya dan sikap melengah-lengahkan lazimnya merugikan, kerana dalam masa yang tersebut banyak perkara yang tidak disangka-sangka boleh berlaku, meliputi berbagai-bagai rintangan dan halangan.

______________________________

1. Fiqh al-Sunnah (1:337).

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

85- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا خَالَطَتِ الصَّدَقَةُ مَالًا قَطُّ إِلَّا أَهْلَكَتْهُ. (رواه الإمام الشافعي)

85- Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, melainkan ia akan membinasakan harta itu."(1)

(Riwayat Imam al-Syafi`i)

Yakni zakat ialah hak fakir miskin dan "asnaf" yang lain. Dengan itu mana-mana harta yang tidak dikeluarkan zakatnya bermakna harta itu dibiarkan bercampur dengan benda yang haram, yang sudah tentu akan membawa kebinasaannya.

Harus Mengeluarkan Zakat Lebih Awal Dari Waktunya:

Menurut mazhab Syafi'i, Hanafi dan Hanbali, harus mengeluarkan zakat lebih awal dari waktunya.

Dalam masalah ini, Imam al-Syafi'i rahimahullah, berpegang kepada hadith S

aiyidina Ali r.a., yang maksudnya bahawa Rasulullah s.a.w. pernah meminjam zakat al-Abbas (bapa saudara Baginda) sebelum genap haulnya.(2)

Diwajibkan "niat" semasa mengeluarkan zakat

Seperti jenis-jenis ibadat yang lain, zakat juga diwajibkan "niat" bagi mengesa

hkannya. Orang yang mengeluarkan zakat hartanya wajib berniat dalam hati semasa menyerahkan zakatnya; "Ini ialah zakat yang diwajibkan pada harta ku", atau dengan ibarat yang lain yang sama maksudnya.

(3)

Dalil niat - Sebagaimana yang telah diterangkan dahulu - ialah firman Allah Taala (ayat 5, surah al-Baiyyinah), yang menyuruh supaya segala amal ibadat hendaklah dikerjakan dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.

Di dalam hadith pula diterangkan antara lain bahawa segala amal adalah berdasarkan niat.

______________________________


1. Kitab yang sama (1:337).


2. Kitab yang sama (1:338).


3. Mughni al-Muhtaj (1:414).


Haram Melambat-lambatkan Pembayaran Zakat

Wajib mengeluarkan zakat dengan serta merta sebaik-baik sahaja sampai waktu wajibnya dan haram melambat-lambatkannya, kecuali ada sebab yang tak dapat dielak, maka ia diharuskan melambatkannya sehingga ia dapat membayarnya.

Ini berdasarkan sebuah hadith (Bukhari) yang maksudnya, bahawa Rasulullah s.a.w apabila ada habuan zakat, Baginda tidak suka melengahkan pembahagiannya walau "satu malam" sekalipun.(1)

Pengajaran yang terdapat dalam hadith ini, bahawa perkara yang baik hendaklah disegerakan pelaksanaannya dan sikap melengah-lengahkan lazimnya merugikan, kerana dalam masa yang tersebut banyak perkara yang tidak disangka-sangka boleh berlaku, meliputi berbagai-bagai rintangan dan halangan.

______________________________

1. Fiqh al-Sunnah (1:337).

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

85- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا خَالَطَتِ الصَّدَقَةُ مَالًا قَطُّ إِلَّا أَهْلَكَتْهُ. (رواه الإمام الشافعي)

85- Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, melainkan ia akan membinasakan harta itu."(1)

(Riwayat Imam al-Syafi`i)

Yakni zakat ialah hak fakir miskin dan "asnaf" yang lain. Dengan itu mana-mana harta yang tidak dikeluarkan zakatnya bermakna harta itu dibiarkan bercampur dengan benda yang haram, yang sudah tentu akan membawa kebinasaannya.

Harus Mengeluarkan Zakat Lebih Awal Dari Waktunya:

Menurut mazhab Syafi'i, Hanafi dan Hanbali, harus mengeluarkan zakat lebih awal dari waktunya.

Dalam masalah ini, Imam al-Syafi'i rahimahullah, berpegang kepada hadith Saiyidina Ali r.a., yang maksudnya bahawa Rasulullah s.a.w. pernah meminjam zakat al-Abbas (bapa saudara Baginda) sebelum genap haulnya.(2)

Diwajibkan "niat" semasa mengeluarkan zakat

Seperti jenis-jenis ibadat yang lain, zakat juga diwajibkan "niat" bagi mengesahkannya. Orang yang mengeluarkan zakat hartanya wajib berniat dalam hati semasa menyerahkan zakatnya; "Ini ialah zakat yang diwajibkan pada harta ku", atau dengan ibarat yang lain yang sama maksudnya.(3)

Dalil niat - Sebagaimana yang telah diterangkan dahulu - ialah firman Allah Taala (ayat 5, surah al-Baiyyinah), yang menyuruh supaya segala amal ibadat hendaklah dikerjakan dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.

Di dalam hadith pula diterangkan antara lain bahawa segala amal adalah berdasarkan niat.

______________________________


1. Kitab yang sama (1:337).


2. Kitab yang sama (1:338).


3. Mughni al-Muhtaj (1:414).


Berdoa Bagi Orang Yang Membayar Zakat

Sunat berdoa bagi orang yang membayar zakat semasa menerima zakatnya. Ini diterangkan di dalam al-Qur'an:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ ..

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengan zakat itu engkau bersihkan mereka (dari dosa) dan engkau sucikan mereka (dari sifat bakhil dan lain-lain akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka ..." (1)

______________________________

1. Ayat 103, Surah al-Taubah.

Dalam hadith pula diterangkan seperti berikut:


86- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أُتِيَ بِصَدَقَةٍ قَالَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِمْ. (رواه الإمام أحمد وغيره)

86- Dari Abdullah bin Abi Awfa, bahawa Rasulullah s.a.w biasanya apabila dibawakan zakat kepadanya, Baginda berdoa: "Ya Allah Ya Tuhanku berilah rahmat dan berkat kepada mereka .." (1)

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-iainnya)

Dalam sebuah hadith yang lain (riwayat al-Nasa'i) bahawa Rasulullah s.a.w. telah berdoa untuk seorang yang membayar zakat untanya kepada Baginda:

(( اللَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِ وَفِي إِبِلِهِ ))

"Ya Allah Ya Tuhanku, limpahilah berkat kepadanya dan kepada untanya."(2)

Al-Imam al-Syafi'i rahimahullah, berkata: sunat bagi pemungut zakat berdoa untuk orang yang menyerahkan zakat kepadanya dengan berkata:

(( آجَرَكَ اللهُ فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَبَارَكَ لَكَ فِيْمَا أَبْقَيْتَ )).

"Semoga Allah Taala membalas dengan sebaik-baik balasan pada apa yang engkau berikan dan melimpahkan berkat pada hartamu yang tinggal."(3)

Kesimpulannya: Bukan sahaja pembayar zakat bahkan tiap-tiap seorang dermawan yang bermurah hati memberikan sebahagian dan hartanya dengan sukarela sebagai sedekah, derma bakti dan khairat, sunat didoakan oleh penerima, semoga Allah Taala melimpahkan berkat kepadanya dan dimurahkan rezekinya serta mendapat sebaik-baik balasan di akhirat kelak.

______________________________


1. Fiqh al-Sunnah (1:338).


2. Kitab yang sama (1:338).


3. Kitab yang sama (1:338) dan Mughni al-Muhtaj (1:419).


-Jenis Harta Yang Diwajibkan Zakat Dan Dalilnya

Meskipun perihal zakat tidak diterangkan satu persatu di dalam al-Qur'an tetapi dalam hadith dihuraikan lebih lanjut bukan sahaja tentang jenis-jenis harta yang dikenakan zakat bahkan dijelaskan "jumlah harta" atau "nisab" yang diwajibkan zakatnya.

1. Zakat Emas dan Perak:

Zakat Emas:

Dalil wajibnya - selain daripada yang diterangkan di dalam al-Qur'an(1) dan hadith (yang ke-79 yang lalu) ialah hadith yang berikut, yang juga menerangkan "nisab" atau "kadar" yang diwajibkan zakatnya:


87- عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ َلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ. (رواه الإمام أحمد وأبو داود)

87- Dari Ali bin Abu Talib r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ".. tidak diwajibkan atasmu sesuatupun - pada emas - sehingga ada bagimu dua puluh dinar, kalau engkau ada dua puluh dinar dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpananmu, maka zakatnya ialah setengah dinar. Seterusnya yang lebih dari itu hendaklah dikira menurut kiraan yang tersebut (dan dikeluarkan zakatnya) .." (2)

(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Orang yang mempunyai emas dan cukup pula syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya Syarat-syaratnya itu ialah: Islam, merdeka, hak milik yang sempurna, cukup nisab dan cukup "haul" (genap setahun dalam miliknya).

20 "dinar" yang tersebut dalam hadith ini ialah seberat 20 "mithqal" mengikut timbangan yang digunakan dalam zaman Rasulullah s.a.w. - bersamaan dengan 25 mayam 2.7108 saga emas: (3)

Inilah nisab emas yang diwajibkan zakatnya.

Orang yang memiliki emas sebanyak itu atau lebih sama ada yang berketul-ketul atau yang telah ditempa menjadi barang-barang perhiasan(4), wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2 1/2 atau 1/40 pada tiap-tiap tahun selagi benda-banda itu dalam miliknya.

Cara mengeluarkan zakatnya

"Hendaklah ditimbang pada masa sampai wajibnya (cukup setahun) dan dikeluarkan daripadanya dua setengah peratus, atau dinilai dengan harga pasaran emas pada hari itu lalu dibayar zakatnya dua setengah peratus daripada jumlah semuanya.(5)

______________________________


1. Ayat 34 dan 35, Surah al-Taubah, yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.


2. Fiqh al-Sunnah (1:339).


3. Kiraan dengan mayam dan saga yang tersebut ialah menurut yang tercatat dalam risalah 'Ibadat Zakat' yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.


4. Kecuali barang-barang kemas, perhiasan badan perempuan yang tidak berlebihan had yang sepatutnya, maka ia tidak diwajibkan zakatnya.


5. Al-Itharah (Kitab Zakat) terbitan Majlis Agama Islam Selangor, hlm 8.


Zakat Perak:

Dalil wajibnya - selain daripada yang diterangkan di dalam al-Qur'an (1) dan hadith (yang ke-79 yang lalu) - ialah hadith yang berikut, yang juga menerangkan "nisab" atau "kadar" yang diwajibkan zakatnya:

88- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنْ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ. (رواه مسلم)

88- Dari Jabir bin Abdullah r.a., dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: "Tidak di wajibkan zakat pada perak yang beratnya kurang dari lima awqiyah .."(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

______________________________


1. Ayat 34 dan 35 Surah Al-Taubah, yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.


2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:53).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut :


89- عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ. (رواه أبو داود)

89- Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila engkau ada dua ratus dirham, dan ia pula telah genap setahun dalam simpanan mu, maka zakatnya (yang wajib kamu keluarkan) ialah lima dirham .." (1)

(Hadith Hasan - Riwayat Abu Daud)

Zakat perak diwajibkan atas orang yang cukup syarat-syaratnya dan syarat-syarat itu sama dengan syarat-syarat zakat emas yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.

Lima "awqiyah" yang tersebut dalam hadith (yang ke-88) itu ialah seberat 200 dirham seperti yang diterangkan dalam hadith (yang ke 89) menurut timbangan yang digunakan dalam zaman Rasulullah s.a.w. - bersamaan dengan 176 mayam 6.9732 saga perak. (2)

Inilah nisab perak yang diwajibkan zakatnya.

Orang yang memiliki perak sebanyak itu atau lebih, sama ada yang berketul-ketul atau yang telah ditempa menjadi barang-barang perhiasan(3), wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2 1/2 atau 1/40 pada tiap-tiap tahun selagi benda-benda itu dalam miliknya.

Cara mengeluarkan zakatnya ialah sama dengan cara mengeluarkan zakat emas yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.

______________________________

1. Ibanat al-Ahkam (2:296).

2. Kiraan dengan mayam dan saga yang tersebut ialah menurut yang tercatat dalam risalah 'Ibadat Zakat' yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

3. Kecuali barang-barang kemas: Perhiasan badan perempuan, yang tidak berlebihan dan yang sepatutnya, maka ia tidak diwajibkan zakatnya.
Zakat Wang:

Segala jenis mata wang yang kita gunakan hari ini wajib dikeluarkan zakatnya setelah cukup syarat-syaratnya.

Dalam risalah "Ibadat Zakat" (1) diterangkan seperti berikut:

Mata wang Malaysia yang digunakan sekarang sama ada kertas, syiling, sen dan sebagainya adalah diwajibkan zakat.

" .. mata wang Malaysia pada dasarnya ialah emas. Hal ini dipandang dari segi cagarannya di mana setiap nilai mata wang yang digunakan itu dicagarkan dengan emas tulin. Oleh itu mereka yang memilikinya wajiblah mengeluarkan zakatnya".

Syarat-syarat wajibnya zakat wang, sama seperti syarat-syarat wajibnya zakat emas dan perak yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.

Oleh kerana mata wang Malaysia berdasarkan emas maka nisabnya ialah nisab emas iaitu sebanyak 20 mithqal - bersamaan 25 mayam 2.7108 saga emas, yang nilaian harganya "mengikut nilaian harga yang ditetapkan oleh kerajaan pada tarikh zakat ini dibuat."(2)

Kadar zakatnya ialah 2 1/2 atau 1/40.

Menurut keterangan rasmi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, bahawa nisab zakat wang sekarang ini (Sya'aban 1415, Januari 1995) ialah RM2,600.00.

Nilaian ini sentiasa berubah-ubah, turun naik, mengikut harga emas di pasaran. Selain dan itu, "hutang wang tunai, saham dalam syarikat perniagaan atau permodalan atau perusahaan, pinjaman-pinjaman (bon), caruman tabung pekerja ...(3)" wajib dikeluarkan zakatnya.

______________________________


1. Terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, hlm. 16.


2. Risalah zakat yang sama (hlm. 17).


3. Al-Itharah (Kitab Zakat), terbitan Majlis Agama Islam, Selangor, (hlm. 2)


2. Zakat Binatang Ternak:

Binatang ternak yang diwajibkan zakatnya ialah unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk kambing biri-biri atau kibas).

Dalil wajibnya, antara lain, ialah hadith yang berikut:


90- عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا مِنْ رَجُلٍ تَكُونُ لَهُ إِبِلٌ أَوْ بَقَرٌ أَوْ غَنَمٌ لَا يُؤَدِّي حَقَّهَا إِلَّا أُتِيَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْظَمَ مَا تَكُونُ وَأَسْمَنَهُ تَطَؤُهُ بِأَخْفَافِهَا وَتَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا كُلَّمَا جَازَتْ أُخْرَاهَا رُدَّتْ عَلَيْهِ أُولَاهَا حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ. (رواه البخاري ومسلم)

90- Dari Abu Zar r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Demi Allah yang diriku dalam kekuasaannya, mana-mana orang lelaki (dan juga perempuan) yang mempunyai unta atau lembu ataupun kambing, yang ia tidak menunaikan zakatnya, melainkan binatang-binatang ternakan itu akan dibawa pada hari kiamat dalam bentuk badan sebesar-besar dan segemuk-gemuknya, (lalu) memijak-mijak dan menanduk nanduknya. Pada tiap-tiap kali akhir barisan binatang-binatang itu meninggalkannya, datang lagi awal barisan menyiksanya. (Demikianlah azab siksa yang akan menimpanya) sehingga selesailah perbicaraan di antara umat manusia (yang akan menentukan kesudahan masing-masing)."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat Wajibnya

Syarat-syarat wajibnya zakat binatang ternak ialah:

(1) Islam.

(2) Merdeka.

(3) Hak milik yang sempurna.

(4) Cukup nisab.

(5) Genap setahun dalam miliknya dari tarikh cukup nisab.

(6) Tidak digunakan untuk menjalankan sesuatu kerja dan tidak menanggung belanja makannya - hanya dilepaskan meragut rumput di padang.

______________________________


1. Fath al-Bari (4:66) dan Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:73).


Di dalam hadith-hadith yang berikut diterangkan pula jenis-jenis binatang ternak yang diwajibkan zakat dan "nisab" masing-masing.
Zakat Kambing (Meliputi Kambing Biri-biri):

91- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَتَبَ لَهُ هَذَا الْكِتَابَ لَمَّا وَجَّهَهُ إِلَى الْبَحْرَيْنِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ وَالَّتِي أَمَرَ اللَّهُ بِهَا رَسُولَهُ وَفِي صَدَقَةِ الْغَنَمِ فِي سَائِمَتِهَا إِذَا كَانَتْ أَرْبَعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ شَاةٌ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ إِلَى مِائَتَيْنِ شَاتَانِ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى مِائَتَيْنِ إِلَى ثَلَاثِ مِائَةٍ فَفِيهَا ثَلَاثُ شِيَاهٍ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى ثَلَاثِ مِائَةٍ فَفِي كُلِّ مِائَةٍ شَاةٌ فَإِذَا كَانَتْ سَائِمَةُ الرَّجُلِ نَاقِصَةً مِنْ أَرْبَعِينَ شَاةً وَاحِدَةً فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا. (رواه البخاري)

91- Dari Anas r.a., bahawa Abu Bakar al-Siddiq (khalifah Islam yang pertama) r.a., telah menulis baginya - surat ini - semasa ia mengutusnya ke pulau Bahrain:

"Ini ialah (keterangan) tentang wajibnya zakat yang telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. atas orang-orang Islam dan yang telah diperintahkan Allah kepada Rasulnya untuk menerangkan .. "

"Dan (ketahuilah) mengenai zakat kambing - yang dibela secara dilepaskan meragut rumput di padang - apabila ia berjumlah empat puluh hingga seratus dua puluh ekor (maka zakatnya) ialah seekor kambing. (1)"

Apabila jumlahnya melebihi seratus dua puluh hingga dua ratus ekor, maka zakatnya ialah: Dua ekor.

Apabila jumlahnya melebihi dua ratus hingga tiga ratus ekor, maka zakatnya ialah tiga ekor.

Apabila jumlahnya melebihi tiga ratus ekor maka zakatnya pada tiap-tiap seratus ekor ialah seekor.

Dalam pada itu apabila kambing seorang itu kurang seekor dan empat puluh ekor maka kambing itu tidak dikenakan zakat - kecuali tuannya suka hendak mengeluarkan zakatnya .." (2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Hadith ini antara lain, menerangkan bahawa permulaan "nisab kambing" ialah 40 ekor, jika kurang dari itu walau seekor sekalipun, maka kambing itu tidak diwajibkan zakatnya - kecuali tuannya dengan sukarela hendak mengeluarkan zakatnya.

Permulaan nisab kambing biri-biri dan cara mengeluarkan zakatnya, sama seperti permulaan nisab kambing biasa dan cara mengeluarkan zakatnya yang tersebut.

______________________________


1. Berumur dua tahun, jika ia kambing biasa atau berumur satu tahun, jika ia kambing biri-biri. (Al-Muhazzab, 1:155).


2. Fath al-Bari (4:59).


Zakat Lembu (dan Kerbau):
92- عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلَاثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً. (رواه الترمذي وغيره)

92- Dari Mu'az r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah mengutusku ke negeri Yaman dan memerintahkan supaya mengambil (zakat lembu) dan tiap-tiap 30 ekor, seekor lembu jantan yang berumur setahun atau seekor lembu betina yang berumur setahun dan dari tiap-tiap 40 ekor, seekor lembu betina yang berumur dua tahun."(1)

(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi dan lain-lainnya)

Hadith ini antara lain, menerangkan bahawa permulaan "nisab lembu" ialah 30 ekor. Orang yang mempunyai lembu sebanyak itu atau lebih dan cukup syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya.

Menurut huraian ulama' rahimahullah makin bertambah jumlahnya, makin bertambah zakatnya, seperti berikut:

30 hingga 39 ekor, zakatnya seekor lembu jantan (atau betina) yang berumur setahun lebih.

40 hingga 59 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih.

60 hingga 69 ekor, zakatnya 2 ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.

70 hingga 79 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih dan seekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.

80 hingga 89 ekor, zakatnya 2 ekor lembu betina yang berumur dua tahun lebih.

90 hingga 99 ekor, zakatnya 3 ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.

100 hingga 109 ekor, zakatnya dua ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih dan seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih.

110 hingga 119 ekor, zakatnya 2 ekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih dan seekor lembu betina yang berumur setahun lebih.

120 ekor, zakatnya 4 ekor lembu betina yang berumur setahun atau 3 ekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih.(2)

Seterusnya, yang lebih dari itu, tiap-tiap 30 ekor, zakatnya seekor lembu jantan yang berumur setahun dan tiap-tiap 40 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun.(3)

Permulaan nisab kerbau dan cara mengeluarkan zakatnya, sama seperti permulaan nisab lembu dan cara mengeluarkan zakatnya yang tersebut.

______________________________


1. Jami' al-Tirmizi (3:257) dan al-Taj al-Jami' Lil Usul (2:12).


2. Sabil al-Muhtadin, (2:89) dan Fiqh al-Sunnah (1:365).


3. Kitab yang sama (1:366)


Zakat Unta:

93- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ ذَوْدٍ مِنْ الْإِبِلِ صَدَقَةٌ. (رواه البخاري)

93- Dari Abu Sa'id (al-Khudri) r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. tidak dikenakan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Hadith ini menerangkan bahawa permulaan "nisab unta" ialah lima ekor Jika kurang dari itu, tidak diwajibkan zakatnya.

Dalam sebuah hadith yang panjang, yang juga diriwayatkan oleh imam Bukhari rahimahullah,(2) (dan juga imam-iman yang lain) ada disebutkan satu persatu mengenai zakat unta dan cara mengeluarkannya.

______________________________


1. Fath al-Bari (4:65).


2. Kitab yang sama (4:58).


Binatang Ternak Yang Cacat Tidak Sah Di jadikan Zakat:

Selain dari itu binatang ternak yang diberikan sebagai zakat hendaklah sempurna sifatnya, kerana yang cacat, tidak sah dijadikan zakat.

Hakikat ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


94- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَتَبَ لَهُ الصَّدَقَةَ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ رَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا يُخْرَجُ فِي الصَّدَقَةِ هَرِمَةٌ وَلَا ذَاتُ عَوَارٍ. (رواه البخاري)

94- Dari Anas r.a., bahawa (khalifah Islam yang pertama) Abu Bakar al-Siddiq r.a., menulis surat baginya mengenai (hukum zakat) yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w. (untuk menyampaikannya). Dalam surat itu disebutkan: "Dan janganlah mengeluarkan atau mengambil mana-mana binatang zakat yang telah tua (gugur giginya) dan yang cacat matanya (atau anggotanya) .. "(1)

______________________________


1. Fath al-Bari (4:63).


3. Zakat Hasil Tanaman:

Hasil tanaman yang diwajibkan zakatnya ialah:

a. Biji-bijian dari jenis-jenis yang mengenyangkan dan tahan disimpan, seperti padi, gandum, jagung dan lain-lainnya.

b. Buah-buahan: Kurma dan anggur sahaja.

Dalil wajibnya ialah firman Allah Taala di dalam al-Qur'an:

... وَءَاتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ.

" .. dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari kamu memetik (hasil tanaman kamu) atau menuainya dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa yang kamu makan atau belanjakan), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau-lampau."(1)

Syarat-syarat Wajibnya:

Syarat-syarat wajibnya zakat hasil tanaman ialah:

(1) Islam,

(2) Merdeka,

(3) Hak milik yang sempurna,

(4) Cukup nisab,

(5) Dari jenis biji-bijian dan buah-buahan yang mengenyangkan dan tahan disimpan,

(6) Ditanam oleh manusia.

Dalam hadith yang berikut di terangkan permulaan "nisab" atau "kadar yang diwajibkan zakat":


95- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ صَدَقَةٌ. (رواه مسلم)

95- Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a., dari nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Tidak dikenakan zakat pada (hasil tanaman) yang beratnya kurang dari lima wasaq .."(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Lima "wasaq" yang tersebut ialah bersamaan dengan 363 (tiga ratus enam puluh tiga) gantang Malaysia setelah dibersihkan dari jerami dan hampanya.

Orang yang mempunyai hasil tanaman yang termaklum sebanyak itu atau lebih diwajibkan membayar zakatnya.

Hasil tanaman (biji-bijian dan buah-buahan) yang didapati dari tanaman yang dijirus dengan air yang diangkut maka zakatnya ialah 5 atau 1/20.

Sebaliknya tanaman yang hidup dengan air hujan atau air sungai atau tali air, maka zakatnya ialah 10 (peratus), atau 1/10.

______________________________


1. Ayat 141, Surah al-An'am.


2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:50).


Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


96- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِيمَا سَقَتْ السَّمَاءُ وَالْعُيُونُ أَوْ كَانَ عَثَرِيًّا الْعُشْرُ وَمَا سُقِيَ بِالنَّضْحِ نِصْفُ الْعُشْرِ. (رواه البخاري)

96- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Pada tanaman yang hidup dengan air hujan dan mata air yang mengalir atau ia dari jenis tanaman yang hidup semata-mata dengan menyedut air dengan akar-akarnya yang menjalar, (maka zakatnya) ialah: Sepuluh peratus dan pada tanaman yang hidup dengan siraman air yang diangkut, (maka zakatnya) ialah: Lima peratus. "(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

______________________________


1. Fath al-Bari (4:90).


4. Zakat Barang-barang Perniagaan:

" .. barang-barang perniagaan ialah semua mata benda perniagaan yang diniatkan untuk tujuan berniaga seperti barang-barang runcit, makanan, minuman, pakaian, kenderaan, pelbagai alatan dan lain-lain".(1)

Dengan kata lain:

"Barang-barang perniagaan:

(a) Sebarang rupa perniagaan yang memperdagangkan barang-barang.

(b) Sebarang perusahaan yang mengeluarkan barang-barang.

(c) Sebarang usaha mengambil upah seperti pengangkutan udara atau laut atau darat."(2)

Orang-orang Islam yang menjalankan perniagaan dan cukup syarat-syaratnya, wajib membayar zakat barang-barang perniagaannya.

Dalil wajibnya ialah firman Allah Taala di dalam al-Qur'an:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ ...

"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik .." (3)

Mujahid, rahimahullah berkata: Turunnya ayat ini mengenai perniagaan. (4)

______________________________


1. Risalah "Ibadat Zakat" terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.


2. Al-Itharah (Kitab Zakat), terbitan Majlis Agama Islam, Selangor, (hlm. 2).


3. Ayat 267, Surah al-Baqarah.


4. Al-Taj al-Jami' lil Usul (2:20).


Di dalam hadith pula diterangkan seperti berikut:


97- عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُنَا أَنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنْ الَّذِي نُعِدُّ لِلْبَيْعِ. (رواه أبو داود)

97- Dari Samurah bin Jundub r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w ada memerintahkan kami, supaya mengeluarkan zakat dari apa yang kami sediakan untuk jualan. "(1)

(Hadith Hasan - Riwayat Abu Daud)

Syarat-syarat wajibnya zakat perniagaan:

Syarat-syarat wajibnya ialah:

(1) Islam.

(2) Merdeka.

(3) Hak milik yang sempurna.

(4) Genap setahun perniagaan dijalankan.

(5) Cukup nisab pada tarikh perniagaan ini genap setahun.

"Nisab zakat barang-barang perniagaan" sama seperti "nisab zakat wang".(2) Oleh kerana mata wang Malaysia berdasarkan emas, maka nilaian ini sentiasa berubah-ubah, turun naik, mengikut harga emas dalam pasaran.

5. Zakat Benda-benda Galian:

Benda-benda galian yang dimaksudkan di sini ialah dari emas dan perak sahaja.

Hasil emas dan perak yang didapati dari lombong dan sebagainya dan cukup pula nisabnya sebanyak 20 misqal atau lebih, hendaklah dikeluarkan zakatnya, sebanyak 2 1/2 , sebaik-baik sahaja mendapat benda-benda galian itu dengan tidak menunggu cukup setahun.

Dalil wajibnya ialah hadith yang berikut:


98- عَنْ بِلَالِ بْنِ الْحَارِثِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ مِنَ الْمَعَادِنِ الْقَبَلِيَّةِ الصَّدَقَةَ. (رواه أبو داود)

98- Dari Bilal bin al-Harith r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengambil zakat dari (emas dan perak) yang didapati dari perlombongan al-Qabaliyah."(1)

(Riwayat Abu Daud)

______________________________


1. Ibanat al-Ahkam Syarah Bulugh al-Maram (2:317).


6. Zakat Rikaz:

"Rikaz" ialah harta benda yang terpendam dalam tanah yang telah ditanam oleh orang-orang dahulu kala - zaman jahiliyah.

Mana-mana orang Islam yang mendapat harta terpendam yang demikian, diwajibkan membayar zakatnya sebanyak lima peratus - dengan syarat harta itu cukup nisabnya.(1)

Dalil wajibnya ialah hadith yang berikut:


99- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَفِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ. (رواه البخاري)

99- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. dan pada rikaz (diwajibkan zakatnya) satu perlima. "(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Hadith ini menerangkan kadar zakat yang diwajibkan pada rikaz dan menerangkan bahawa orang yang mendapat rikaz itu - setelah mengeluarkan zakatnya satu perlima, berhak memiliki empat perlima yang bakinya.

______________________________

1. Al-Imam al-Syafi'i rahimahullah menyatakan bahawa "Rikaz" yang diwajibkan zakatnya, disyaratkan cukup nisab (Ibanat al-Ahkam, 2:315 dan al-Taj al-Jami' lil Usul, 2:19).

2. Fath al-Bari (4:107).

No comments:

Usia My Life

Daisypath Friendship tickers

Saat Cinta Bersemi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Muhammad Aiman Hakim

Daisypath Happy Birthday tickers

Afrina Zara Batrisyia

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers